Pages

MUHTAWAYAAT

Tuesday, February 9, 2010

PELAJAR2 KU.....SILA HAYATI TULISAN INI......


Ayuh Menuntut Di Fakulti Bahasa Arab!


Pada 21/7/2009 saya menerima satu komen dari pembaca blog ini bernama telaga. Beliau menulis begini, “kebetulan sedang lemah semangat. Alhamdulillah,terbaca entri ni.. Sangat menggugah semangat. Ana calon pelajar Lughah di Mesir. Pernah seorang berkata, “kos Lughah, apa sumbangannya untuk islam!?” Kalau boleh tulislah tentang penerangan pembelajaran kos lughah di mesir. Terima kasih banyak.”

Saya memang bercadang untuk menulis lebih banyak artikel mengenai pentingnya Bahasa Arab dan segala yang berkaitan dengannya. Namun untuk kesempatan ini saya harap perkara-perkara yang ingin saya sampaikan nanti dapat menjadi penyebab, pemotivasi dan pendorong untuk adik-adik yang ingin mengambil kuliah ini. Berikut adalah beberapa perkara penting yang perlu adik-adik perhatikan.

1. Kuliah Bahasa Arab mempunyai peranan dan sumbangan yang sangat-sangat besar untuk Islam. Ada ulama yang menyatakan bahawa bahasa Arab wajib dipelajari oleh setiap muslim. Mereka yang berpendapat seperti ini meyakini bahawa seandainya sesuatu yang dengannya sempurna suatu yang wajib maka ia juga adalah wajib. Contohnya solat yang tidak akan sah melainkan setelah wudhu’ maka wudhu’ adalah wajib kerana ia merupakan syarat sahnya solat. Seandainya manusia tidak akan kenal Tuhan melainkan dengan memperlajari Bahasa Arab maka Bahasa Arab adalah wajib kerana ia menjadi syarat sampainya aqidah. Namun, kita bersikap sederhana dalam hal ini kerana hari ini tanpa mempelajari bahasa Arab pun manusia dapat beriman dan bertaqwa.

2. Sarjana-sarjana Bahasa Arablah yang telah memainkan peran besar sehingga Islam masih terpelihara hingga hari ini. Lebih 1400 tahun namun tetap terpelihara. Bahkan Allah SWT menciptakan golongan ini khusus demi menjadi musabbab atas terpeliharanya Al-Quran mukjizat sepanjang zaman.

Siapa yang menghadiahkan titik kepada ba’, ta’, tsa’, dzal, zai, jim, dhod, fa’, qaf dan seterusnya kalau bukan sarjana bahasa Arab? Siapa yang menyusun Nahu menjadi sebuah disiplin ilmu yang kukuh sehingga kita dapat mengenal pasti mana subjek, mana prediket, mana objek dalam sebuah ayat? Siapa yang menyusun Sorof sehingga kita dapat mengenal pasti asal usul sebuah kata dan perubahan makna yang berlaku dalam setiap perubahan bentuk kata? Siapa yang menyusun Balaghah menjadi sebuah disiplin ilmu yang mengungkap rahsia dan makna disebalik keindahan rupa, bentuk dan bunyi suatu ayat? Siapa yang berjasa mendata dan menyenaraikan perkataan-perkataan yang ‘gharib’ (asing) sehingga kita dapat merujuk makna kata tersebut? Siapa dari masa ke masa mengungkap kandungan Al-Quran yang relevan sepanjang usia bumi?

Hanya mereka yang mempunyai tsaqafah bahasa Arab yang tinggi dan luas sahaja yang mampu terjun ke dalam lautan ilmu Al-Quran dan Sunnah.

3. Manakah yang lebih bermanfaat, memberi segulung ilmu, atau memberi sebuah kunci yang mampu digunakan membuka khazanah ilmu yang tidak terbatas?

Memandaikan umat akan bahasa Arab adalah umpama memberi kunci azimat yang dapat membuka khazanah ilmu Allah.

4. Mengapa umat menjauh atau bahkan meninggalkan Al-Quran? Kerana mereka tidak memahaminya. Mereka tidak menikmatinya. Mereka tidak merasa bahawa ia sesungguhnya diturunkan secara langsung dari Allah kepada dirinya.

Mengapa hari ini mereka bahkan mula mengkritik Al-Quran? Kerana mereka tidak dapat melihat mukjizat yang terkandung di dalamnya. Mereka tidak terkesima dan tidak terbelik kerana keagungan dan kemukjizatan Al-Quran yang tidak tampak di mata mereka akibat tidak memiliki Bahasa Arab.

Mengapa bacaan Al-Quran, zikir harian, solat dan ibadah lain tidak memberi kesan kepada hati, minda dan jiwa? Kerana mantra-mantra Ilahi itu tidak lagi berkesan. Manusia menjadi burung kakak tua yang berbicara tanpa mengetahui apa yang dikata. Mantra-mantra Ilahi itu tidak meresap ke dalam jiwa, tidak bergetar di dalam hati, tidak dicerna di dalam minda dan tidak mengalir di setiap pergerakkan anggota tubuh kerana tidak ada faham mengenainya.

5. Jika ada abang dan kakak senior yang mengatakan “Jangan ambil Fakulti Bahasa Arab sebab ia sangat susah!” maka ketahuilah bahawa abang dan kakak senior itu berbohong. Ramai abang dan kakak yang lambat selesai bukan kerana susahnya Fakulti ini. Faktor yang menyebabkan hal itu terjadi adalah : kurang persiapan, kesalahan teknik belajar, kegagalan mengikuti perkembangan pembelajaran dan kurang usaha.

Lagi pun apakah ada studi yang tidak susah? Jika mudah buat apa studi?

6. Jika anda ingin memasuki Fakulti Perubatan maka anda perlu cemerlang dalam seluruh mata pelajaran asas sains terutama biology. Jika anda ingin memasuki Fakulti Kejuruteraan maka anda perlu cemerlang dalam mata pelajaran seperti Matematik dan Fizik? Maka jika anda ingin memasuki Fakulti Bahasa Arab anda perlu cemerlang semua mata pelajaran asas bahasa Arab kerana apa yang akan dipelajari adalah lebih dalam dan lebih teliti.

Jika berpeluang, datang ke Mesir sekarang juga, untuk mendapatkan kelas bahasa Arab yang mengukuhkan segala maklumat yang telah kita pelajari sejak sekolah rendah hingga menengah. Barulah asas Bahasa Arab itu mengalir dalam diri kita.

7. Terjun ke Fakulti Bahasa Arab bererti menjadikan Bahasa Arab sebagai kepakaran utama kita, maka kepakaran itu perlu digunakan dan diiringi dengan pembelajaran dan pembacaan hal-hal lain terutama demi membedah khazanah ilmu Islam dan alam. Jika ia tidak, ia umpama memiliki harta yang dahsyat namun tidak dimanfaatkan.

8. Bahasa adalah kemahiran maka ia mengandung paling sedikit tiga aspek. Kemahiran berbicara, kemahiran menulis serta kemahiran membaca dan memahami. Setiap yang berbentuk kemahiran maka memerlukan latihan. Proses transaksi ilmu di meja kuliah sahaja tidak cukup jika tidak diiringi dengan proses menajaman keterampilan di dalam kehidupan sehari-hari.

9. Graduan Fakulti Bahasa Arab tidak hanya diharapkan untuk mampu memahami Khazanah Turast akan tetapi memiliki tugas yang lebih besar iaitu mewarnai masyarakat dengan tsaqafah bahasa Arab yang tinggi. Semakin ramai masyarakat menguasai bahasa Arab semakin ramai agen pemelihara Al-Quran dan semakin ramailah pemacu aspirasi dan tamadun umat bercorakkan nilai-nilai Al-Quran.

10. Hanya suatu yang gagah, perkasa dan besar sahaja yang mampu menampung dan menaungi sesuatu yang besar perkasa dan gagah. Umpama sebuah gunung yang tinggi dan gagah tegap berdiri kerana akarnya yang kukuh dan perkasa. Hanya bahasa yang besar, agung, gagah, luas dan perkasa sahaja yang mampu menaungi, mengandung, menampung dan menyimpan kalam Allah yang Maha Dahsyat, Maha Gagah, Maha Luas, Maha Perkasa, Maha Indah, Maha Halus, Maha Jelas dan maha segala maha.


* DIPETIK DARI BLOG TAQEYYABELLA
http://taqeyyabella.naemy.net

No comments:

Post a Comment